Saturday, 23 June 2012

PERGAULAN BEBAS

Pengaruh rakan sebaya punca utama gejala: Kajian UPM

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin.
Lebih mengejutkan, kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.
Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya. Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.



Dapatan itu diperoleh daripada kajian enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan juga kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima serta remaja di bawah usia 25 tahun. Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual’ seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau yang memfokus kepada pembinaan modal insan, pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam bidang tugasannya berkata, penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka.
“Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup.

“Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.


“Walaupun dapatan kajian di luar bandar dan Lembah Klang menunjukkan hasil lebih kurang sama, senario di luar bandar itu boleh dianggap lebih mengejutkan apabila ramai remajanya turut terjebak dengan gejala ini sedangkan kawasan berkenaan tidak mendapat pendedahan seperti di bandar raya,” katanya kepada Berita Harian.

Mohammad Shatar berkata, kajian membabitkan jumlah seimbang dari segi responden lelaki dan perempuan itu dilakukan sebagai projek tahun akhir pelajarnya dengan menyenaraikan 25 aktiviti salah laku seksual daripada peringkat ‘ringan-ringan’ seperti meraba, bercium dan berpeluk hingga peringkat kes berat meliputi seks bebas serta menggugurkan janin.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati ada beberapa faktor yang umpama ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang menambah kepada gejala itu, termasuk kebebasan dan kepercayaan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa kepada anak.

“Memang amat penting untuk memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak, tetapi itu bukanlah jaminan kerana ia mesti dilengkapi pengawasan berterusan daripada ibu bapa. Jangan terlalu bersangka baik atau menjadikan penampilan luaran anak seperti dari segi cara berpakaian dan tingkah laku sebagai ukuran mutlak bahawa mereka selamat atau terhindar daripada pengaruh gejala seks ini.


“Pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri. Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

“Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

PEMBUANGAN BAYI

PEMBUANGAN bayi dilakukan oleh wanita hasil perhubungan luar nikah dan dilakukan lantaran si ibu bukan saja tidak mengingini bayi itu sebaliknya tekanan diterima masyarakat berhubung status anak berkenaan.

Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Ustaz Masridzi Sat, berkata kes berkenaan dikesan dilakukan di kalangan remaja yang terdesak akibat perhubungan bebas antara lelaki dan wanita dan tidak tahu ke mana arah untuk mengadu nasib.
Katanya, perbuatan pembuangan bayi di lakukan sejak zaman Jahiliah lagi, tetapi apabila ia berlaku pada zaman ini, membuktikan penyakit sosial itu sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.
“Hari ini pembuangan bayi dilakukan mengikut dua cara iaitu sopan dan biadap. ‘Sopan’ apabila dilakukan menerusi pengguguran haram di klinik atau tempat tertentu ketika janin masih dalam kandungan dan diletakkan di masjid atau rumah orang, tetapi dalam kes pembuangan yang dikategorikan sebagai biadap pula apabila bayi berkenaan dibuang bagaikan sampah.





“Dalam kes biadap tadi, bayi dijumpai selalunya mengalami kecacatan kerana ada tanda-tanda ia kesan pemakanan ibu yang ingin menggugurkan kandungan itu menerusi pengambilan arak dan sebagainya. Bagaimanapun pembunuhan yang tragis seperti memotong anggota tubuh, membakar dan sebagainya, besar kemungkinan di lakukan oleh ibu di bawah pengaruh dadah menjadikan tindakan diambil itu tidak waras,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, perbuatan zina hingga melahirkan bayi dilakukan akibat pergaulan bebas. Dan dalam kebanyakan kes didapati di Perkid, 90 peratus daripada remaja mengatakan perbuatan melampau mereka berpunca daripada ibu bapa yang tidak berperanan dalam mendidik anak-anak ke jalan yang diredai Allah.

Perkid, berjuang lebih 15 tahun membantu ibu bapa, guru serta pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyelamatkan anak-anak umat Islam daripada bencana penyakit sosial dengan menubuhkan lima institusi pemulihan yang terbukti berjaya.
Ia ditubuhkan bukan hanya merawat kes yang parah, sebaliknya turut turun padang menjalankan usaha dakwah dan cegah mungkar di lokasi remaja melakukan maksiat. Ia turut menawarkan program pencegahan khusus untuk membantu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mendidik anak atau pelajar melalui beberapa pakej program ditawarkan. Menerusi operasi dakwah dan cegah maksiat pula, ia dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa agama, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan sebagainya.

Masridzi berkata, filem ‘Anakku Sazali’ arahan Tan Sri P Ramlee, merungkai sikap ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu mendidik anak-anak.

Lebih malang apabila anak berkenaan tersilap langkah, ibu bapa yang melahir dan membesarkan itu dianggap tidak memahami serta gagal hingga menjadikan mereka sebegitu.



“Apabila anak-anak bebas melakukan apa saja tanpa batasan, atas alasan kebebasan manusia dan hak remaja, maka mereka akan membesar sebagai remaja yang memberontak untuk mencari keseronokan.

“Remaja yang rosak akhlaknya di sini, kebanyakan disebabkan dalam keluarganya mengamalkan sifat keakuan. Ibu ayah sibuk dengan hal duniawi cenderung memenuhi keinginan anak-anak dengan telefon bimbit, internet di rumah sebagai membuktikan mereka sayangkan dan manjakan anak.

“Sedangkan remaja yang tidak tahu menghargai pemberian itu akan leka dan membina keseronokan sendiri. Saya menyifatkan telefon bimbit sebagai senjata pemusnah diri anak-anak walaupun ramai yang menyatakan ia satu keperluan, tetapi berapa ramai ibu bapa yang mengambil kisah apa yang ada dalam telefon bimbit anak-anak mereka? Hari ini membuat dosa, bukan perlu berada di kelab-kelab malam atau berfoya-foya di luar rumah, sebaliknya ia boleh berlaku di dalam rumah dan hanya di hujung jari,” katanya.

Mengambil satu kes di mana seorang remaja perempuan yang didakwa baik oleh ibu bapanya, tetapi apabila diperiksa dalam telefon bimbitnya, terkandung gambar separuh bogel yang dihantar kepada teman lelakinya sedangkan sebelum itu ibu bapanya bukan saja membenarkannya menggunakan telefon bimbit, tetapi tidak mengawal atau memeriksa kandungannya.

“Malangnya teman lelakinya itu menggertak meletakkan gambar itu di ‘ You Tube’, remaja ini sanggup menjadi hamba seks teman lelakinya atas alasan takut diketahui ibu bapa. Perhubungan ini boleh menjurus berlaku kehamilan dan apabila berlaku, kandungan itu besar kemungkinan akan dibuang sama ada menerusi pengguguran haram.

“Sekiranya kandungan tidak berjaya digugurkan, maka bayi yang lahir itu akan dibuang dan jangan terkejut sekiranya kehamilan dan pembuangan bayi boleh dilakukan lebih daripada sekali sekiranya ia tidak dibendung daripada awal,” katanya.



Mengumpamakan didikan anak-anak bagaikan bermain layang-layang, ibu bapa boleh melepaskan anak-anak terbang tinggi ditiup angin, tetapi benangnya tetap berada di tangan.

Malangnya dalam setiap kes pembuangan bayi, penjenayah itu tidak boleh dikenal pasti justeru pendekatan baru yang lebih canggih boleh diambil seperti menerusi DNA. Perkid boleh dihubungi di talian 03-90213730 atau 03-4280 0730.

FAKTA: Apa yang perlu anda tahu mengenai pembuangan bayi
Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Ia terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka terdesak, akibat malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Punca :
  • Kehamilan tidak diingini
  • Perhubungan seks rambang dan luar nikah

Kesan :
  • Sudut Perubatan
    • Kadar kematian bayi lebih tinggi disebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna
    • Kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah; jangkitan kuman; kecederaan sewaktu bersalin; psikologi dan sosial.
  • Sudut psikologi dan sosial
    • Murung
    • Hilang keyakinan diri
    • Rasa bersalah
    • Resah atau gelisah
    • Masalah emosi dan hubungan interpersonal
  • Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
  • Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.


Bagaimana mengelakkan pembuangan bayi?
Elakkan kehamilan jika anda belum:
  • Berkahwin
  • Bersedia membesarkan anak
  • Bersedia membina keluarga.

Semua agama utama di Malaysia:
  • Melarang seks sebelum kahwin
  • Taat kepada ajaran agama

Elakkan seks sebelum kahwin:
  • Anda bertanggungjawab ke atas hidup anda sendiri.
  • Lindungi kesihatan dan emosi anda tanpa seks sebelum kahwin.
  • Jika pasangan yang benar-benar menyayangi dan menghormati anda, dia tidak akan meminta seks sebelum kahwin.
  • Selalu tanam dalam fikiran, badan anda adalah tanggungjawab anda, justeru jagalah badan anda dengan baik.
  • Elakkan membaca atau menonton bahan-bahan lucah.
  • Babitkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti sukan, bersenam, aktiviti kebudayaan dan kerja-kerja sukarela.

Sekiranya anda sudah melakukan hubungan seks sebelum kahwin:
  • Fikirkanlah kesan dan akibatnya dengan teliti dan mendalam.
  • Dapatkan bantuan jika anda hamil.
  • Anda boleh mengatur supaya bayi anda dijadikan anak angkat.


Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan:
  • Terdapat pelbagai agensi yang boleh membantu anda.
  • Pastikan anda tahu mengenai implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.

Di mana anda boleh mendapatkan bantuan jika anda hamil? Dapatkan bantuan dari:
  • Ibu bapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka.
  • Kaunselor sekolah.
  • Guru sekolah.
  • Doktor dan anggota kesihatan di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan.
  • Pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi: Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611:
  • Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga.
  • Seksyen 46 - Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah.

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
  • Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun

PERPADUAN 1 MALAYSIA

TANGGAL 31 Ogos 2012 nanti, genaplah selama 55 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan. Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur yang kita nikmati hari ini telah meniti ranjau dan duri yang sangat hebat. Biarpun lakaran sejarah itu telah mencatat bahawa kemerdekaan yang kita peroleh daripada penjajah Barat bukan bermandikan darah atau dengan mengangkat senjata, tetapi implikasi serta halangannya sangat besar. Kita telah berperang dan berjuang dalam usaha membentuk kesepakatan dan perpaduan antara kaum. Perjuangan ini sangat sukar kerana rakyat kita masih belum sebati acuannya ketika itu sehinggakan rasa kurang percaya masih bertapak di dalam diri. Pengaruh komunis dan dakyah penjajah yang ditinggalkan, kemudian dimarakkan lagi dengan isu perkauman begitu sukar dileraikan dalam diri rakyat yang akhirnya mencetuskan detik hitam 13 Mei 1969. Namun begitu, titik hitam itu semakin hari semakin terpadam kerana rakyat negara ini semakin bertamadun dan sofistikated. Tahu menilai baik buruk dan implikasi yang akan ditanggung jika mengabaikan dasar ini.



Asas-asas perpaduan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat sebenarnya telah pun diusahakan dan dijayakan oleh Tunku Abdul Rahman yang memimpin barisan perpaduan ketika itu. Usaha-usaha itu diteruskan pula oleh Perdana Menteri atau pemimpin-pemimpin seterusnya hingga ke hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika dahulu kita disajikan dengan konsep perpaduan kaum atau integrasi nasional, tetapi hari ini “Satu Malaysia” adalah pengukuhan kepada dasar-dasar yang relevan yang dibentuk dan diamalkan selama 55 tahun itu. Pengalaman menikmati kemerdekaan sehingga hari ini yang diasaskan berpandukan prinsip perbincangan atau musyawarah yang dipupuk bersama nilai kesefahaman dan kesepaduan antara kaum atau ras negara ini yang berbeza budaya, agama dan asal usul sedikit demi sedikit mula memperlihatkan hasilnya.
Prinsip toleransi dan perpaduan merupakan acuan yang terbaik sehingga negara ini telah diiktiraf sebagai “role model” kepada negara-negara membangun seluruh dunia. Pemupukan perpaduan kaum akan terus menjadi agenda dalam pembangunan negara dan matlamat terakhir kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memantapkan lagi kestabilan negara dari aspek sosio-politik di samping mengekalkan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pembangunan yang dirangka oleh kerajaan telah menetapkan satu paradigma ke arah membolehkan negara mencapai taraf sebuah negara maju. Sebagaimana terkandung dalam Wawasan 2020 daripada semua sudut keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kemajuan sains dan teknologi, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi.


Rakyat Malaysia pada hari ini seharusnya membuang jauh-jauh perasaan prasangka sebaliknya menganggap bahawa diri mereka adalah bangsa Malaysia. Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan komitmen dan semangat “Satu Malaysia” dengan memberi tumpuan terhadap tugas serta tanggungjawab dengan penuh iltizam, keazaman, keyakinan dan bertekad demi kepentingan pembangunan dan kemajuan negara.

                                        

FUNGSI SEKOLAH SEBAGAI LEMBAGA SOSIAL


1.      Fungsi Sosial Sekolah
Sebagai lembaga sosial, sekolah mengembangkan dan melaksanakan bermacam-macam fungsi yaitu:
A.    Sekolah berfungsi sosial
Sosialisasi adalah suatu proses belajar, dimana kita mempelajari cara-cara hidup masyarakat.
Dalam proses sosialisasi itu individu mempelajari kebiasaan, sikap ide-ide, pola nilai dan standard tingkah laku dalam masyarakat dimana individu tersebut berada.
Semua sifat dan kecakapan yang dipelajari dalam proses sosialisasi itu disusun dan dikembangkan sebagai suatu kesatuan sistem dalam diri atau pribadinya.
Dengan proses sosialisasi individu berkembang menjadi suatu pribadi dan makhluk sosial.
Setiap masyarakat mempunyai cara tersendiri dalam upaya membawa seorang anak untuk menjadi dewasa. Pada masyarakat yang masih premitif dengan strukturnya yang masih sederhana, maka anak mempelajari sebagian besar pengetahuan dan keterampilannya dalam keluarga dam masyarakat sendiri.
Sudah barang tentu proses sosialisasi semacam ini tidak sesuai lagi untuk diterapkan dalam kehidupan masyarakat yang sudah maju. Anak sebagai generasi penerus dan pewaris kebudayaan harus dipersiapkan sesuai dengan kebutuhan dan perubahan yang begitu pesat. Anak harus dibekali dengan berbagai keterampilan agar dapat mengikuti perkembangan yang begitu cepat itu.
Dengan cara memperluas pengalaman sosial anak maka sekolah merupakan agen sosialisasi anak yang masih dalam taraf perkembangan begitu maju kedewasaan.
Selain itu sekolah diharapkan dapat membentuk manusia sosial yang dapat bergaul dengan sesama manusia secara serasi walaupun terdapat perbedaan agama, ras, peradaban, bahasa dan lain sebagaiannya. 



   
B.       Fungsi transmisi dan transformasi kebudayaan
Fungsi transmisi kebudayaan masyarakat kepada anak dapat dibedakan menjadi dua macam yaitu :
1)      Tansmisi pengetahuan dan ketrampilan
2)      Tranmisi sikap, nilai-nilai dan norma-norma
Transmisi pengetahuan mencangkup berbagai pengetahuan misalnya pengetahuan bahasa, matematika, pengetahuan alam dan pengetahuan sosial, serta penemuan teknologi.
Dalam masyarakat industri yang kompleks, fungsi transmisi pengetahuan sangat penting sehingga proses belajar di sekolah membutuhkan waktu yang lebih lama dan membutuhkan guru-guru khusus. Dalam arti yang sempit transmisi pengetahuan dan ketrampilan ini berbentuk vocational training. Pengertian transmisi kebudayaan tidak hanya terbatas pada mengajarkan kepada anak bagaimana cara belajar, melainkan juga bagaimana cara menemukan dan menciptakan sesuatu yang baru.
Sekolah tidak hanya berfungsi mentransmisi kebudayaan dari generasi ke generasi berikutnya. Sekolah juga berfungsi untuk mentransformasikan kebudayaan. Artinya sekolah berfungsi untuk mengubah bentuk kebudayaan agar tetap sesuai dan tidak usang dalam masyarakat yang makin maju dan makin kompleks. Nilai-nilai luhur yang telah diwariskan generasi tua harus tetap terpelihara.
Oleh karena itu sekolah mempunyai peranan yang sangat besar dalam menjaga eksistensi nilai-nilai luhur itu.



Didalam pihak sekolah juga dituntut untuk menjawab tantangan kemajuan teknologi dan komunikasi internasional yang semakin maju.
Dengan demikian sekolah dituntut untuk mengembangkan pengetahuan dan memperoleh penemuan-penemuan yang dapat membawa perubahan masyarakat ke tingkat yang lebih mutu atau tarafnya.

C.       Sekolah sebagai lembaga seleksi
Sekolah tidak hanya melaksanakan sosialisasi kepada generasi muda dan mentransmisi nilai-nilai luhur serta mentransformasi nilai-nilai dan tingkah laku agar sesuai dengan perkembangan zaman melainkan sekolah juga membantu dalam menentukan cara hidup mana, nilai-nilai apa serta kemampuan dan ketrampilan bagaimana yang harus ditempuh oleh para anak didik. Jadi sekolah membantu murid dalam menentukan perubahan kehidupan kearah yang lebih baik.
Kriteria yang digunakan oleh sekolah dalam memilih murid berdasarkan prestasi akademiknya.
Dengan kriteria tersebut sekolah membantu murid dalam menentukan pilihan spesialisasi apa yang akan dipilih.
Masyarakat kita telah mengenal deferensisasi dan spesialisasi pekerjaan ini dapat menimbulkan berbagai masalah antara lain :
a.       Masyarakat harus mempunyai fasilitas untuk mengerjakan bermacam-macam spesialisasi itu.
b.      Masyarakat harus mengusahakan agar orang-orang yang mempunyai spesialisasi itu jumlahnya seimbang sesuai dengan kebutuhan.
c.       Masyarakat harus menciptakan mekanisme yang mampu menyerasikan antara bakat dan kemampuan individu dengan tuntutan spesialisasi.
Sekolah bertugas menghasilkan tenaga kerja yang berspesialisasi.



   

Tuesday, 12 June 2012

KELUARGA BAHAGIA


Kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak adalah berat,  bukan sekadar melahirkan mereka sahaja.  Pembangunan keluarga akan terjejas sekiranya anak-anak tidak mendapat perhatian dengan sewajarnya dari ibu bapa.
Anak-anak yang dilahirkan adalah ekoran dari cinta,  kasih sayang antara suami isteri.  Maka rasa cinta,  kasih dan sayang itu hendaklah disurahkan pula kepada anak-anak dalam bentuk-bentuk berikut:
1.    Pendidikan Kesihatan
Ibu mempunyai kewajipan menyusukan bayi dalam tempuh dua tahun (24 bulan).
(a) “Ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka selama dua tahun genap,  bagi siapa yang mahu menyempurnakan tempuh penyusuan tersebut.” Surah Al-Baqarah: 233.
(b) “Memberi makanan yang baik,  halal dan berkhasiat dengan cara yang teratur pada waktu-waktu tertentu supaya menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupannya kelak.” Surah Al-Baqarah: 168.
2.   Pendidikan Kebersihan
Ibu bapa berkewajipan melatih,  membimbing anak-anak sejak kecil lagi supaya sentiasa menjaga kebersihan diri,  pakaian,  tempat tinggal,  kawasan sekitar dan sebagainya.
“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersih dari dosa dan dari kecemaran.” Surah Al-Baqarah: 222.

3.   Pendidikan Akal dan Akhlak
Ibu bapa perlu melentur anak-anak sejak kecil,  jangan biarkan perkembangan akal dan akhlak kanak-kanak tanpa pengawasan.  Kemahuan nafsunya perlu dilentur dengan cara yang baik dengan memberikan pengertian yang betul.  Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik,  sama ada melalui percakapan,  perbualan mahupun tingkahlaku.
“Jangan menyuruh orang lain melakukan kebaikan sedangkan kamu lupakan diri kamu”. Surah Al-Baqarah: 44
4.   Pendidikan Cintakan Negara
Ibu bapa patut menanamkan semangat cintakan negara di mana dia dilahirkan dan hidup sebagai warganegara yang taat setia kepada pemerintah.
“Cintakan Negara Sebahagian Dari Tanda Beriman.”
Cintakan negara kerana ia sebahagian dari bumi ciptaan Allah S.W.T. dan diperintahkan manusia supaya memakmurkannya,  menjaga keamanan dan kesejahteraan penghuninya.  Sesiapa yang melakukan kedurjanaan dan kezaliman di muka bumi ini atau di dalam sesebuah negara di mana ia bermastautin,  adalah dikutuk oleh Allah S.W.T.
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada semua makhluk sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu.  Dan janganlah kamu melakukan kedurjanaan dan kebinasaan di muka bumi,  sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kebinaan dan kedurjanaan.” Surah Al-Qasas:   77.

PANDUAN MEMILIH KERJAYA


Pelajaran adalah amat penting sebagai kayu pengukur terhadap kejayaan masa depan seseorang. Selain daripada itu, pemilihan bidang yang ingin diceburi juga memainkan peranan untuk meningkatkan peratus peluang pekerjaan yang diinginkan. Berkemungkinan anda sendiri, anak, rakan, jiran, suami atau sebagainya masih tercari-cari bidang apakah yang perlu diceburi. t5 akan membantu anda untuk memberikan gambaran secara kasar mengenai bidang yang mendapat permintaan yang tinggi. Mungkin artikel ini serba sedikit dapat membantu anda untuk membuat keputusan.

(5) Pengurusan perniagaan- Mungkin disebabkan oleh kefleksibelitian bidang ini membuatkannya termasuk di dalam ijazah yang mendapat permintaan tinggi. Anda boleh bekerja di bank, organisasi swasta atau kerajaan dan sebagainya. Skop pembelajarannya yang luas seperti kewangan, komunikasi, pemasaran, atau e-dagang merupakan salah satu kelebihan utama dalam bidang ini. Selain daripada itu, ia juga turut membantu anda untuk menjadi seorang usahawan tanpa bergantung pada mana-mana pihak.
(4) Komputer Sains- Disebabkan oleh pembangunan teknologi yang terlalu pesat pada waktu ini, membuatkan bidang komputer sains turut mengalami perubahan terhadap keperluan pekerja yang tinggi. Sekiranya diperhatikan, boleh dikatakan keseluruhan industri perniagaan pada abad 21 akan melibatkan bidang kemahiran komputer didalam perniagaan mereka. Bidang ini juga dijangkakan akan terus berkembang dari semasa ke semasa.
(3) Kujuruteraan- Bidang ini terus kekal didalam senarai yang mendapat permintaan tinggi adalah kerana penggunaan mesin untuk melakukan pekerjaan akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Ia juga boleh dikatakan sama seperti bidang komputer tetapi ia melibatkan pengendalian peralatan yang lebih kompleks.
(2) Kewangan- Pengurusan kewangan yang baik adalah amat penting untuk sesebuah organisasi mengekalkan tempat, atau memperluaskan lagi pengaruh mereka didalam sesuatu industri. Tidak hairanlah sekiranya sesuatu organisasi itu sanggup mengambil pekerja yang ramai untuk memastikan kelancaran kewangan mereka. Mengetahui terhadap pasaran semasa juga amat penting dalam membantu melakukan perancangan pada masa akan datang.

(1)  Akaun- Adakah anda pernah tertanya-tanya mengapakah sesebuah organisasi sanggup membayar dengan jumlah yang banyak terhadap akauntan yang berkelayakanan. Bukan itu sahaja, sebahagian besar organisasi akan mengambil jumlah pekerja yang ramai untuk menjaga akaun mereka. Ia menunjukkan batapa pentingnya untuk sesebuah organisasi itu mengetahui aliran kewangan yang berlaku secara harian, bulanan, atau tahunan. Sekiranya mereka tidak mengetahui kemana wang telah disalurkan, pasti akan berlaku pembaziran yang akan menyebabkan kerugian. Seperti yang anda tahu, tujuan utama sesuatu organisasi itu ditubuhkan adalah untuk mengaut keuntungan.
Sekiranya diperhatikan 3 daripada 5 bidang yang mendapat permintaan tinggi adalah didalam bidang pengurusan. Ia menunjukkan betapa pentingnya pengurusan untuk membantu kemajuan sesuatu organisasi itu. Pasti anda berasa pelik mengapa bidang doktor tidak termasuk di dalam senarai ini, ini adalah kerana bidang doktor adalah bidang yang kritikal dan bukannya bidang yang mendapat permintaan tinggi. Apabila sudah memenuhi jumlah doktor yang diinginkan, pengambilan akan dibekukan kerana pertumbuhan institusi kesihatan tidak sama dengan industri yang lain.

FAEDAH BERSUKAN

Kita sering diberitahu bahawa sukan itu adalah penting. Namun, apakah definasi bersukan? Menurut kamus Edisi Ketiga, sukan adalah segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga yang menyihatkan badan atau dilakukan secara hiburan. Contohnya, sekarang, acara yang paling gemuruh, Olimpik, telah menarik perhatian ramai orang untuk menonton pelbagai sukan yang diuruskan. Antaranya, berenang, lompat tinggi, badminton, tenis meja, bola dan lain-lain lagi.
Sukan memang banyak faedahnya. Faedahnya yang pertama ialah bersukan dapat menyihatkan badan seperti yang dikatakan pada definasinya. Apabila kami mengeluarkan segala tenaga kami bermain sesuatu jenis sukan, badan kami berpeluh. Apabila, kami berpeluh, kami sebenarnya mengeluarkan toxin-toxin lalu membersihkan badan. Dengan proses pembersihan ini, badan kami akan rasa lebih segar. Badan orang sering bersukan pun banyak berotot dan tegap. Jika kami sering bersukan, kami tidak akan jatuh sakit semudah orang yang tidak bersukan dan gemar memakan makanan yang terlalu berminyak atau terlalu masin.


Faedah kedua bersukan ialah ia membentukkan sesuatu pasukan supaya mereka boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih baik. Kerana mereka sentiasa terpaksa memikirkan strategi untuk permainan, mereka dapat bekerja dalam sesuatu kumpulan. Lagipun, lama-kelamaan, semua ahli pasukan akan merasa bahawa pasukan mereka seperti sebuah keluarga. Misalnya, jika mereka kalah dalam satu permainan, mereka akan menghiburkan hati satu sama lain dan mereka semua sentiasa menggalakkan satu sama lain untuk bermain dengan sepenuh hati dan bermain dengan sebaik mungkin.

Akhirnya, faedah yang ketiga ialah bersukan mejaminkan jalan kehidupan yang sihat. Bersukan dapat mengurangkan berat badan seseorang dan risikonya menjadi gemuk dan menangkap pelbagai jenis kesakitan kerana gemuk akan berkurangan. Bersukan pun menyegerakan otak dan minda supaya dapat berfikir dengan jelas dan kami dapat menimbang dan berfokus dengan lebih mahir. Pengkajian pun menunjukkan bahawa bersukan dapat menolong melawan kemurungan dan perasaan terlalu khuatir.





Berdasarkan faedah-faedah yang telah dibentangkan, kami dapat berpendapat bahawa sukan menyihatkan badan, membina sebuah pasukan dan menjamin jalan kehidupan sihat. Dengan ini, terbukti lah bahawa bersukan memang banyak faedahnya. Kami sepatutnya menggalakkan keluarga, teman-teman, jiran-jiran dan sesiapa lagi dan ingin dengar untuk rajin bersukan. Tentu dunia ini akan menjadi lebih sihat.

DADAH



Dadah ialah bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubasuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, bukan semua bahan yang dimakan dianggap dadah/drug. Misalnya, makanan yang dimakan secara normal tidak dianggap sebagai dadah melainkan makanan tersebut diambil khas untuk tujuan tertentu (contohnya kafeina sebagai perangsang).
Oleh sebab perkataan 'drug' dipinjam daripada bahasa Inggeris, perkataan ini membawa banyak maksud. Perkataan 'drug' lebih banyak digunakan dalam bidang farmasi dan perubatan (iaitu ubat), manakala perkataan 'dadah' membawa imej yang lebih negatif iaitu ketagihan.

Dadah boleh dibahagi kepada beberapa jenis:


GEJALA SOSIAL


Remaja kini sering sahaja digambarkan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan senantiasa inginkan kebebasan mengikut perasaan mereka sendiri. Mereka berasakan bahawa mereka sudah bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara itu tanpa sebarang campur tangan daripada pihak ibu bapa waima sesiapa pun. 


Meneliti keadaan sosial golongan remaja kini, pelbagai aspek perlu diteliti mengenai punca sebenar mengapa dan bagaimana terjadinya kebejatan yang semakin menggugat imej remaja itu sendiri. Antara faktor yang mendorong ke arah kerosakan ini adalah persekitaran.


Persekitaran mempengaruhi akhlak individu dalam masyarakat dalam erti kata ia menggalakkan perkembangan aspek tertentu namun pada masa yang sama menghindarkan perkembangan aspek lain. Persekitaran yang mengamalkan pengasingan nilai kerohanian daripada urusan keduniaan dan persekitaran sosial budaya yang bersifat sekular liberal dan materialistik. 



Kewujudan pusat-pusat peranginan yang tidak mengikut atau berlawanan dengan budaya Melayu dan agama Islam secara tidak langsung memudaratkan lagi kebejatan sosial di kalangan remaja ini. Percampuran bebas, bercumbuan dan pendedahan aurat yang keterlaluan oleh pelancong-pelancong asing tadi pastinya merupakan suatu perlakuan yang sangat mudah menjadi ikutan para remaja ini. 


Budaya hiburan dan ungkapan ´born to be free´ dan ´muda hanya sekali´, sudah sinonim dengan kehidupan remaja kini. Kehidupan hingar-bingar di kota-kota besar kini seakan keperluan asas bagi remaja ini. ´keperluan´ ini pula secara langsungnya, menghidupkan dan menyuburkan lagi kewujudan pusat-pusat hiburan. Malah, akibat daripada ´sokongan padu´ yang ditunjukkan oleh remaja ini merancakkan lagi pusat-pusat hiburan yang berlesen mahupun tanpa lesen ini memanjangkan lagi waktu operasinya sehinggakan ke dinihari. 


Selain daripada itu, pemujaan kepada golongan artis oleh golongan remaja kini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Masakan tidak, konsert-konsert bergerak yang dianjurkan seolah-olah telah menjadi satu ´trend´ oleh pelbagai pihak tertentu kini. Malahan ada dikalangkan penganjur melunakkan konsep konsert dengan berselindung di sebalik konsert amal seperti konsert membantu penghidap AIDS, mengisi tabung bantuan Tsunami, gempa bumi, malam anak-anak yatim, malam bersama-sama anak-anak cacat dan seumpamanya. Semua ini dengan alasan kononnya di samping meraih keuntungan besar, mereka dapat beramal dengan mendermakan sebahagian hasil kepada tabung amal tadi. 






Masyarakat umumnya dan remaja khasnya boleh dikatakan ketandusan role model yang boleh dijadikan contoh ikutan yang baik (Qudwah Hasanah) sama ada di peringkat individu mahupun di peringkat pucuk kepimpinan. Kita tidak dapat nafikan banyak yang pandai bercakap mengenai kelebihan dan kebaikan cara hidup Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap tetapi berapa ramai yang benar-benar beramal dengannya? Anak-anak muda ini mudah terkeliru dan sering tercari-cari di manakah ´role model´ yang perlu mereka ikuti. 


Malangnya, dengan mengambil jalan pintas, remaja ini sering mengambil role model yang sering mereka tatap dan ikuti perkembangan hidupnya. Contoh yang mudah ialah kehidupan para artis tidak kira dalam atau luar negara. Ini kerana mereka sering mendapat liputan meluas dalam media-media massa. Oleh itu tidak hairanlah apabila artis-artis ini mendapat tempat dalam masyarakat manakala peranan golongan yang sepatutnya menjadi role model yang terbaik seperti golongan para ulama dan ilmuwan sering dipinggirkan. 


Memang tidak dinafikan bahawa peranan media massa banyak memberikan perkembangan dan maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan dengan hal ehwal semasa, berita dalam negeri hinggalah kepada berita-berita luar negara. Namun, media massa pada hari ini telah disalahgunakan hingga menyebabkan peranan utamanya sebagai agen pengubah tidak berlaku dengan berkesan sehingga banyak perkara-perkara kebejatan berlaku. 



Internet sememangnya telah mengubah pemikiran manusia di seluruh dunia. Termasuk yang sedang diubah adalah pemikiran umat Islam. Mungkin berbanding dengan umat lain, penggunaan internet di kalangan umat Islam masih rendah. Akan tetapi golongan kecil orang Islam yang menggunakan internet sudah tentu tidak terlepas daripada pengaruhnya. Apa yang menyebabkan internet begitu berpengaruh berbanding dengan media yang lain adalah sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar disekat, ditapis dan dihalang tidak seperti media massa lain. 


Maka dengan itu, bahan-bahan lucah dengan begitu mudah memasuki negara yang selama ini dapat menghalang kemasukannya. Begitu juga dengan bahan-bahan subversif termasuklah tulisan yang bersifat menentang agama.Ini sangat berbahaya kepada masyarakat terutamanya umat Islam. Setakat ini tidak ada negara yang dapat menghalang kemasukan bahan-bahan ini. Begitu juga Malaysia Selama ini kerajaan dapat membendung kemasukan bahan-bahan yang bersifat subversif tetapi melalui internet, kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak. 


Selain internet pengaruh media massa seperti televisyen juga merupakan salah satu penyebab berlakunya gejala-gejala sosial. Banyak rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen yang memaparkan adegan-adegan ganas, tahayul dan seks.Ini boleh mendorong masyarakat ke arah berlakunya gejala-gejala yang tidak diingini dan kelakuan yang tidak baik. 


Tidak dapat disangkal bahawa media massa dan keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini merupakan antara faktor-faktor penting berlakunya jenayah salah laku remaja secara meluas. Selain daripada media cetak , media elektronik memainkan peranan yang tidak kuran hebatnya dalam mempengaruhi tingkah laku dan sikap anak-anak remaja. 


Melalui siaran-siaran radio TV dan tayangan video, para pelajar terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti unsur-unsur ganas dan luar, budaya barat, budaya dadah, tahayul dan seks bebas. Dengan wujudnya suasana sekeliling yang semakin rosak dan iman yang tipis, para remaja mudah terdorong untuk mencuba aksi-aksi ganas dan adegan-adegan yang berahi yang telah mereka tonton melalui TV atau video lucah yang berleluasa di pasaran. Akibatnya mereka terjerumus dengan perhubungan seks bebas, pelacur murahan, homoseksual, lesbian hingga kepada terjadinya sumbang mahram. 






Selain itu majalah-majalah berbentuk hiburan juga banyak memberi kesan negatif ke atas kelakuan masyarakat pada hari ini. Banyak majalah yang berada di pasaran hari ini yang memaparkan gambar artis-artis Barat dan memaparkan kelakuan-kelakuan dan gaya hidup mereka yang tidak berpaksikan kepada ajaran agama. Pengaruh budaya Barat ini begitu mudah menyelinap masuk ke dalam kehidupan golongan remaja kita. Kebanyakan golongan remaja, terutamanya orang Melayu sangat mudah terpengaruh dengan budaya ini.